Sejarah Valentine Day
Valentine adalah nama seorang
pendeta Nasrani yang hidup di abad ke-3 Masehi. Hari Valentine adalah
semata-mata perayaan agama Nasrani atau penganut Kristian yang bertujuan untuk
mengenang salah seorang tokoh mereka.
Ensiklopedia Katolik menyebut tiga riwayat
berkaitan Valentine, tetapi yang paling terkenal adalah apa yang disebutkan
sebahagian kitab mereka yang menyatakan bahawa pendeta Valentine hidup pada
abad ke-3 Masehi pada masa pemerintahan Maharaja Rom Kalaudis II.
Pada 14 Februari 270 M, maharaja ini menjatuhkan
hukuman mati ke atas pendeta tersebut kerana menentang pemerintahannya.
Kesalahan pendeta tersebut kerana telah mengajak masyarakat kepada agama
Nasrani.
Riwayat lain menyatakan, maharaja memandang
bahawa askar bujang lebih sabar dalam peperangan berbanding mereka yang sudah
berkeluarga. Para suami selalu berusaha menolak untuk pergi berperang. Oleh
kerana itu, maharaja mengeluarkan perintah yang melarang perkawinan, akan
tetapi pendeta Valentine menentang perintah itu dan tetap melakukan perkahwinan
di gerejanya secara sembunyi, hingga diketahui pemerintah lalu memerintahkan
penangkapan terhadap pendeta itu dan memenjarakanya.
Dalam penjara pendeta berkenalan dengan seorang
gadis, puteri salah seorang penjaga penjara. Gadis itu mengidap satu penyakit,
lalu bapanya meminta kepada pendeta agar menyembuhkanya. Setelah diubati, tak
lama kemudian gadis itu sembuh –sebagaimana yang diceritakan dalam riwayat itu-
dan pendeta itu jatuh cinta kepadanya. Sebelum dihukum, pendeta telah mengirim
kepada si gadis itu satu surat yang tertulis: “Dari yang tulus Valentine.“
Sebelum kejadian itu juga gadis tersebut telah masuk agama Nasrani bersama 46
orang kerabatnya.
Riwayat ketiga menyebut bahawa suatu ketika agama
Nasrani tersebar di Eropah, terdapat satu bentuk ritual keagamaan di salah satu
kampung yang menarik perhatian para pendeta, di mana para pemuda desa berkumpul
di pertengahan bulan Februari dalam setiap tahun. Mereka mencatat seluruh nama
gadis desa lalu memasukannya ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda diberi
kesempatan untuk mencabut satu nama, dan nama gadis yang keluar itulah yang
akan menjadi kekasihnya sepanjang tahun itu. Mereka padaketika itu terus
mengirim kepada si gadis sepucuk surat tertulis di atasnya: “Dengan menyebut nama
Tuhan Ibu aku kirim kepadamu surat ini“. Hubungan cinta ini berlanjutan
sehingga melewati satu tahun.
Para pendeta memandang bahwa ritual tersebut
dapat mengukuhkan akidah orang-orang Rom, dan mereka menyedari bahawa ritual
ini sukar untuk dihapuskan, oleh itu mereka menetapkan untuk megubah kalimat
yang diucapkan para pemuda itu dari “Dengan menyebut nama Tuhan Ibu“ menjadi:
“Dengan menyebut pendeta Valentine,“ sebab ia adalah simbol Nasrani, dan dengan
cara itu mereka dapat mengaitkan para pemuda ini dengan agama Nasrani.
Ada yang menyebut sejarah sambutan Hari Kekasih,
termasuk yang dikaitkan dengan pesta sambutan Rom kuno sebelum kedatangan agama
Kristian yang dinamakan Lupercalia, kisah mubaligh Kristian Saint Valentine dan
juga sempena musim mengawan burung pada 14 Februari.
Itulah beberapa gambaran kisah disebalik Hari
Kekasih Valentine Day dan semua
berkaitan agama Nasrani Kristian.
Hukum Sambutan Valentine Day
Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal
Ehwal Agama Islam Malaysia pada 2005 telah memutuskan bahawa sambutan Hari
Kekasih adalah haram bagi seluruh umat Islam.
Sebagaimana yang telah termaktub di dalam
Al-Qur’an dan As-Sunnah dan disepakati oleh generasi awal umat Islam hari
kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya
hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Ini sebagaimana yang firman Allah
S.W.T.:
Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat
yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat
yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat
manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas
jalan yang lurus. (Al-Hajj : 67)
Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w pernah
datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada
kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda
bersabda:
“Sesungguhnya Allah telah menggantikan
kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya
Aidiladha dan Aidilfitri.” (Hadis riwayat al-Nasaai, no:
959.)
Oleh itu hendaklah umat Islam hanya membataskan
diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan
Rasul-Nya khusus untuk umat Islam. Setelah berakhir zaman salafussoleh iaitu 3
kurun terbaik bagi umat Islam, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam
kalendar umat Islam seperti Mawlid al-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul
al-Qur’an dan lain-lain lagi.
Terdapat larangan daripada baginda s.a.w.
untuk meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya
seperti ini ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut.
Sabdanya: Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka. (Hadis
riwayat Imam Abu Dawud, 3512.)
Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini turut
diikuti dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti
pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan, membuang masa dengan
berpeleseran ke tempat-tempat yang tak tentu hala malah mencurigakan dan
membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal.
Tentang hukum menyambut Hari Valentine, Syaikh
al-‘Utsaimin berkata: “Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut
bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa
orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar
ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar.”
Tidak dapat dinafikan pergaulan bebas ketika
sambutan Hari Valentine ini membuka pintu perzinaan sedangkan Allah s.w.t.
memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya
perzinaan. Firman-Nya:
“Dan janganlah kamu menghampiri zina,
sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat
(yang membawa kerosakan).” (Al-Israa’ : 32)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar